Home Destinasi MACHINCANG CAMBRIAN GEOFOREST PARK

MACHINCANG CAMBRIAN GEOFOREST PARK

4
0
SHARE
MACHINCANG CAMBRIAN GEOFOREST PARK      
Machinchang Cambrian Geoforest Park dengan keluasan 4,274 hektar dengan batuan tertua di Malaysia iaitu Formasi Machinchang. Walaupun usia batuan ini sangat tua, 550 juta tahun (usia geologi-Kambria) tetapi batu pasir di kawasan ini menunjukkan ketahanan daripada luluhawa dan aktiviti tektonik, puncak Machinchang memperlihatkan batu pasir yang seperti dicincang-cincang yang berkait dengan legenda Mat Cincang & Mat Raya. Antara geotapak yang penting di kawasan ini termasuklah Teluk Datai, Pantai Pasir Tengkorak, Tanjung Buta, dan Tanjung Sabung. Selain daripada tempat tersebut, kawasan yang terhasil daripada proses geologi yang baru seperti Air Temurun, Air Terjun Telaga Tujuh, Pulau Anak Datai, Pulau Anak Burau, dan kawasan Tanjung Chinchin.
Kawasan Machinchang Cambrian Geoforest Park merupakan tumpuan para pelancong yang ingin menaiki kereta kabel. Untuk menyokong aktiviti pelancongan di sini, Oriental Village iaitu pusat perniagaan telah dibina disekitar kaki Gunung Machinchang. Oriental Village ini mempunyai kedai-kedai cenderatamata, restoran, spa, taman haiwan dan Pusat Informasi Langkawi Geopark. Sekitar kawasan ini, terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dicuba seperti menunggang kuda, jungle-trekking, berkhemah and perkelahan.
  • Terdiri dari formasi batuan yang tertua di Asia Tenggara dan Malaysia, berusia 550- 490 juta tahun iaitu Formasi batuan Machinchang (batu pasir,batu lodak).
  • Geotrail utama ke puncak Gunung Machinchang ialah dengan kereta kabel yang menawarkan laluan curam 90 darjah iaitu laluan kereta kabel tercuram di dunia. Pada ketinggian 709 meter dari aras permukaan laut, pengunjung dapat menikmati keindahan Langkawi 360° darjah.
  • Terdapat tapak-tapak geologi yang dilindungi di kawasan ini iaitu Tanjung Chinchin, Air Terjun Telaga Tujuh, Air Terjun Temurun, Pantai Teluk Datai dan Pulau Anak Datai.
  • Tumbuhan di kawasan puncak Gunung Machinchang unik dan kebanyakkan pokok di sini adalah rendah seakan hutan renek. Antara tumbuhan yang boleh ditemui ialah pokok Tongkat Ali, Kelat Bukit dan Podo Bukit.
  • Menurut legenda cerita rakyat, Machinchang adalah merujuk kepada gergasi yang bernama Mat Chinchang telah bergaduh dengan Mat Raya semasa perkahwinan anak-anak mereka sehingga terpaksa dileraikan oleh Mat Sawar, tetapi usaha Mat Sawar telah gagal.
FAKTA
  • Formasi Machinchang berusia 550-490 juta tahun.
  • keluasan 4,274 hektar
  • Statistik pengunjung yang menaiki kereta kabel
TELUK DATAI & PULAU ANAK DATAI
Kawasan ini terletak bahagian terbawah Formasi Machinchang dan merupakan kawasan batuan tertua di Langkawi dan Malaysia. Pulau ini terbentuk kesan hakisan berterusan pada tanjung kuno. Pulau ini akan bercantum dengan tanah besar sesekali oleh tombolo pada air surut.
TANJUNG BURAU & PULAU ANAK BURAU
Selain daripada pulau baki yang besar, Pulau Anak Burau, terdapat beberapa tor granit pelbagai saiz disekelilingnya. Cirri menarik di sini ialah perlarutan pada batu granit yang terbentuk hasil daripada hakisan ombak pada batu granit, terutama yang berada berhampiran aras pasang-surut air laut.

 

TRAIL KERETA KABEL
Sepanjang perjalanan menaiki kereta kabel, pengunjung akan menikmati lanskap semulajadi kawasan pergunungan Machinchang. Antaranya adalah Air Terjun Telaga Tujuh, Pulau Anak Burau dan singkapan batu pasir Formasi Machinchang yang berketebalan sehingga beratus meter.
Platform Kereta Kabel
Pada hari yang cerah dengan langit yang biru, daripada platform ini dapat dilihat pelbagai permandangan panorama Langkawi yang menakjubkan. Antaranya, pergunungan Machinchang sehingga ke Gunung Raya and perbukitan daripada Formasi Singa kepada landskap batu kapur Setul and Chuping. Selain itu, boleh juga di lihat beberapa pantai and pulau di sekitar Langkawi and pulau di Thailand.

 

TRAIL PASIR TENGKORAK
Rentis ini sepanjang 1.5km merentasi pesisir pantai berbatu and 600 meter rentis hutan dan bakau. Beberapa singkapan batuan Formasi Machinchang yang menarik dapat dilihat sepanjang rentisan ini.
Pantai Pasir Tengkorak
Pantai ini adalah kantung butiran pasir yang putih terletak diantara batuan pasir dan syal. Perlapisan batuan dikawasan ini mengandungi beberapa stuktur sedimen yang menarik seperti perlapisan silang, keasan riak, struktur nyalaan api, perlepasan bendalir and lain-lain. Selain itu, terdapat struktur unik lain iaitu tafoni. Kawasan pantai merupakan salah satu pantai terbaik untuk aktiviti perkelahan.
Pasir Tengkorak ( Timur )
Kawasan pantai ini terdiri daripada batuan and kelikir mempamerkan beberapa fitur hakisan ombak termasuk pentas hakisan dengan kehadiran beberapa gua laut terangkat yang berada beberapa meter daripada aras laut sekarang. Tarikan yang lain di pantai ini adalah pantai ini dipenuhi dengan batu kelikir sahaja.

 

TANJUNG BUTA
Tanjung ini terbentuk berhampiran dengan daik kuarza setebal 5 meter. Batu pasir di kawasan ini mengandungi fosil usia Kambria Akhir seperti trilobit dan brakiopod yang mewakili lapisan fosil tertua di rantau ini. Kawasan ini juga merupakan titik terbaik untuk melihat landskap Pulau Jemuruk dan Gua Pinang yang terletak berhampiran.
AIR TERJUN TELAGA TUJUH
Telaga Tujuh adalah air terjun yang menonjol di Langkawi. Air terjun ini terbentuk di antara sempadan batu pasir Formasi Machichang and Granit Bukit Sawak. Asalan nama Telaga Tujuh ini merujuk kepada kehadiran tujuh buah kolam semulajadi yang wujud di sekitar kawasan air terjun ini. Kolam ini turut dikaitkan dengan mitos sebagai tempat mandi puteri kayangan.
Kolam ini merupakan lubang periuk (potholes) terhasil daripada hakisan batu kelikir disekeliling batu granit oleh arus berpusar didalam lubang tersebut yang menggerakkan kelikir seterusnya menghakis dinding kolam. Kolam yang paling dalam diukur sehingga 3.5meter.
AIR TERJUN TEMURUN
Air Terjun Temurun merupakan air terjun tertinggi di Langkawi dengan tiga tingkat keseluruhannya berketinggian sekitar 200 meter. Air terjun ini terbentuk dalam batu pasir Formasi Machinchang.
FLORA Tumbuhan di pergunungan Machinchang unik kerana kebanyakan pokok di sini rendah hampir sama seperti hutan jenis heath (renek). Ini kemungkinan disebabkan olah angin laut dan kekurangan nutrien di dalam batu pasir Formasi Machinchang. Sebanyak 60 spesies daripada 40 familii direkodkan di Gunung Machinchang dengan Rubiaceae sebagai famili yang dominan. Antara flora yang menarik yang boleh ditemui di puncak Machinchang adalah Tongkat Ali, Kelat Bukit, Podo Bukit. Spesies yang jarang adalah Tembusu Bukit, Wool Flower, Tepus Tanah dan Pepanggil Langkawi.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here